KELAB MELAYU NSDK

Lot 2789, Tkt 4, Bangunan Kelab Melayu NS,Jalan Tuanku Munawir,
70000 Seremban,N.SembilanTel: 606 763 0849 Fax: 606 763 0164,
e mail: kelabmelayunsdk@gmail.com.

Sejarah & Latar

PERANG BUKIT PUTUS (1875): ADAKAH DATO? SIAMANG GAGAP SEORANG PAHLAWAN ATAU SEORANG POLITIKUS ISTANA YANG LICIK ?

Posted by kelab melayu negeri sembilan on November 8, 2010 at 6:43 AM

PERANG BUKIT PUTUS (1875): ADAKAH DATO’ SIAMANG GAGAP SEORANG PAHLAWAN ATAU SEORANG POLITIKUS ISTANA YANG LICIK ?

Apabila membicarakan tentang sejarah Perang Bukit Putus (25-11-1875), penceritaannya tidak akan lengkap jika peranan seorang Orang Besar Istana Seri Menanti iaitu Dato’ Siamang Gagap atau nama sebenarnya Hj Kahar bin Mukmin tidak di sebut. Penceritaan sejarah yang ada rata-rata mengangkat tokoh ini sebagai wira bangsa apabila beliau mengetuai angkatan perang Yam Tuan Antah berperang dengan Angkatan Dato’ Undang Luak Sungai Ujong yang dibantu oleh Inggeris dan berjaya membuatkan Angkatan Dato Undang yang dibantu oleh Inggeris tersebut berundur ke Paroi.


Dato Siamang Gagap ini juga digambarkan sebagai penentang kepada campur tangan Inggeris dan oleh itu beliau adalah karektor yang sesuai diangkat sebagai ikon yang memperjuangkan kebebasan bangsa.


                                                                  


                                                                Gambaran wajah Dato Siamang Gagap


Namun adakah itu sahaja wajah Dato’ Siamang Gagap ? Mungkin jika kita dapat melihat sejarah dari sudut yang berbeza, kita mungkin mengerti mengapa dan kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku dan mungkin kita melihat wajah sebenar individu yang sekian lama disanjung oleh sejarah.


Perang Bukit Putus pada tanggal 25-11-1875 meletus atas persengketaan antara Yam Tuan Antah, Yam Tuan Negeri Sembilan ke-6 (jika tidak dikira Tuanku Ampuan Intan sebagai Yam Tuan) dan Dato’ Undang Sungai Ujong, Dato Kelana Petra Syed Abdul Rahman . Kita mungkin tertanya apa mungkinnya seorang Undang yang menabalkan Raja berperang dengan Rajanya sendiri? Telah menjadi adat dan peraturan sejak Raja Melewar ditabalkan di Kg Penajis Rembau pada tahun 1773, Dato’-Dato Undang inilah yang menabalkannya. Secara ringkasnya boleh dikatakan tiada kebulatan dari Undang tiada Raja boleh ditabalkan.Itulah asas persetujuan, adat dan peraturan yang telah ditetapkan.Jika asas ini dilanggar maka pecahlah adat dan tidak ada  lagi kebulatan dan muafakat.


Apa mungkin seorang perempuan diangkat menjadi Raja walaupun hanya sebagai Pemangku. Inilah perkara yang dilakukan oleh Dato’ Siamang Gagap, seorang yang dianggap wira dalam sejarah yang telah menggunakan pengaruhnya sebagai Orang Besar Istana Seri Menanti untuk menaikkan Tuanku Ampuan Intan menjadi Raja (1869-1872) dengan alasan sementara waris pengganti kepada Yam Tuan Imam dapat diputuskan. Ini telah membelakangi adat dan peraturan yang ditetapkan seperti yang telah diperakukan sejak pertabalan Raja Melewar lagi. Inilah sebabnya Dato’ Undang Sungai Ujong Dato Kelana Petra Sendeng, imam atau ketua kepada Undang-Undang Luak marah dan mengisytiharkan keluar dari gabungan “ Nagari Sembilan”. Tindakan Dato Kelana Petra ini kemudiannya diikuti oleh Dato’ Undang Jelebu dan Rembau.


Kemelut bagi perlantikan waris takhta berlaku kerana ramai Orang Besar – Orang Besar Istana tidak mahu mengangkat anakanda AlmarhumYam Tuan Imam , Tuanku Ahmad Tunggal ibni Yam Tuan Imam sebagai Yam Tuan menggantikan ayahanda baginda yang mangkat kerana didakwa mempunyai kelakuan yang buruk dan zalim. Peranan Dato Siamang Gagap pada masa ini adalah untuk menidakkan Tuanku Ahmad Tunggal dari menaiki takhta lantas beliau mempengaruhi Orang-Orang Besar Istana menaikkan Tuanku Ampuan Intan ( balu Yam Tuan Radin) sebagai Pemangku Raja dan pada masa yang sama melobi agar Tuanku Besar Lintau ibni Raja Radin menaiiki takhta. Namun cadangan ini ditolak oleh Tuanku Besar Lintau kerana tidak berminat dengan urusan keduniaan dan mahu menumpukan masa untuk beribadat. Kemudian Dato Siamang Gagap melobi agar Tuanku Laksamana Antah ibni Raja Radin dijadikan Yam Tuan dan cadangan ini mendapat persetujuan penghulu-penghulu luak tanah mengandong (Johol,Muar,Jempol, Terachi,Gunung Pasir dan Inas).


Sekiranya dapat dilihat dari senario sejarah seperti di atas, Dato Siamang Gagap telah menggunakan kedudukannya serta pengaruhnya sebagai Orang Besar Istana untuk menidakkan keturunan Yam Tuan Imam dari menaiki takhta. Mengapa dia tidak menaikkan balu Yam Tuan Imam sebagai Pemangku tetapi sebaliknya menaikkan pula balu Yamtuan Raja Radin .Mengapa tidak Tuanku Ahmad Tunggal dinaikkan,kenapa cenderung kepada anakanda – anakanda Yam Tuan Raja Radin? Dikisahkan jawatan Dato Istana yang disandang oleh Dato Siamang Gagap dikurnia oleh Yam Tuan Raja Radin dan adakah tindakan yang dilakukan ini bagi membalas jasa? Atau adakah ini untuk mengekalkan pengaruh dalam Istana yang mungkin hilang jika Tuanku Ahmad Tunggal menjadi Yam Tuan?


Siapa sebenarnya Dato’ Siamang Gagap ?


Menurut penceritaan orang tua-tua, Kahar atau Dato Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di kampung Repah,kawasan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.


Diceritakan Dato Siamang Gagap pernah berguru dengan seorang alim dalam agama diberi gelar TOK KALI SINGA. Kemudian beliau ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Beliau juga diceritakan menjelajah tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya.


Apabila pulang dari perantauan, beliau mengajar ilmu agama dan persilatan kepada anak-anak muda di kampungnya. Beliau juga bercita-cita menjadi pembesar istana dan untuk mencapai cita-citanya beliau mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti. Sikap Dato Siamang yang rendah diri dan peramah membuatkan dia mudah disenangi dan diterima oleh orang-orang kampung.


Serangan dan gangguan orang-orang Rawa (Rao) yang datang dari Lenggeng telah mengganggu keamanan dan kemakmuran Luak Tanah Mengandong (Seri Menanti) Orang-orang Rawa ini terkenal dengan ganas dan tidak berperi kemanusiaan. Semasa itu orang-orang Rawa amat terkenal dengan ilmu Rao Rontek(1) dan Bom Katak(2). Rakyat mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan Raja Radin tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda kuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.


Dato Siamang Gagap hadir mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan. Dato Siamang Gagap menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa bernama Temusi lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa. Dato Siamang Gagap juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan Rawa. Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara Dato Siamang Gagap dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Dato Siamang Gagap berjaya mengalahkan lawannya. Kemudian Dato Siamang Gagap mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya.Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.

 

Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran DATO SIAMANG GAGAP kepada beliau dan juga dilantik menjadi pembesar istana. Beliau menjadi pembesar Istana bermula dari masa pemerintahan Yam Tuan Radin, Yam Tuan Imam, Tuanku Ampuan Intan (pemangku) dan Yam Tuan Antah.


Apa sebabnya perang berlaku?


Apabila Tuanku Laksamana Antah dinaikkan menjadi Yam Tuan Besar ke-6, baginda dinaikkan dengan persetujuan penghulu-penghulu dalam lingkungan Tanah Mengadong sahaja ( Sg Ujong, Rembau dan Jelebu telah keluar dari gabungan Nagari Sembilan) manakala Sg Ujong, Rembau dan Jelebu tidak memperakui Tuanku Antah sebagai Yam Tuan. Tuanku Ahmad Tunggal anakanda kepada Yam Tuan Imam yang kecewa dengan perlantikan tersebut telah mengadu kepada Dato Kelana Petra Syed Abdul Rahman yang menggantikan Dato Kelana Petra Sendeng sebagai Dato’ Undang Sg Ujong. Dato Klana Petra Syed Abdul Rahman bersimpati dengan nasib Tuanku Ahmad Tunggal dan marah dengan mainan politik istana yang dimainkan oleh Dato Siamang Gagap Beliau memperakui bahawa beliau akan membantu Tuanku Ahmad Tunggal untuk mendapatkan kembali takhta Yam Tuan.


Bagai meletakkan garam atas luka yang berdarah,pada masa yang sama, ketika Dato, Kelana Petra Syed Abdul Rahman naik ke jawatan Undang Sg Ujong pada 1872, beliau mengistiharkan Terachi sebagai jajahan kepada Sungai Ujong. Ini membuatkan Yam Tuan Antah murka  kerana Terachi terlingkung dalam jajahan Tanah Mengandong iaitu jajahan pemerintahan Yam Tuan. Pada masa itu Sg Ujong telah mempunyai Residen Inggeris dan Dato’Undang Sg Ujong telah meminta bantuan kepada Residen bagi menyelesaikan permasalahan sempadan antara Sg Ujong dan Seri Menanti.


Pada 25-11-1875, atas permintaan Dato Undang Sg Ujong , Residen Inggeris telah menghantar Captain Murray bersama dengan seorang pengukur dan sepasukan askar yang dianggotai oleh askar Inggeris dan angkatan Dato Undang untuk pergi ke Terachi bagi menyelesaikan masalah persepadanan tersebut. Sesampai di Bukit Putus, pasukan yang diketuai oleh Captain Murray telah diserang oleh Angkatan Seri Menanti yang diketuai oleh Dato Siamang Gagap. Maka meletuslah perang di kawasan Bukit Putus dan dalam peperangan tersebut pasukan Inggeris dan Dato Undang terpaksa berundur ke Paroi.


Mendengar perkhabaran Captain Murray telah diserang oleh Angkatan Seri Menanti, Residen Inggeris telah meminta bantuan askar negeri-negeri Selat untuk menentang Angkatan Seri Menanti. Peperangan akhirnya tamat apabila tentera Inggeris dapat menawan Seri Menanti. Yam Tuan Antah telah lari menyelamatkan diri ke Singapura manakala Dato Siamang Gagap telah menyembunyikan diri. Dalam penceritaan orang tua-tua, ada yang mengatakan dia bersembunyi di Juasseh dan ada yang mengatakan beliau bersembunyi di Pahang.


Semasa di Singapura Yam Tuan Antah telah pergi mengadap Sultan Johor dan Gabenor Brittish mengadukan tentang peperangan yang dibantu oleh pihak Inggeris. Dikhabarkan Gabenor British, Sir Frederick Aloysius Weld berkata;


Adat orang berperang Tuanku, siapa yang kalah hilanglah negeri, siapa yang menang dialah memerintah. Sekarang Dato’ Kelana Syed Aman yang menang, dialah yang memerintah dan mempunyai negeri.”


Yam Tuan Antah menjawab;


Saya tidak kalah dengan Syed Aman, tetapi kalah dengan askar British. Kami tidak terlawan askar British,kerana itulah kami kalah. Kalau tuan boleh membenarkan ,biarkan kami balik berperang dengan Syed Aman tetapi dengan syarat askar British jangan campur tangan,beri kami tempoh dua bulan sahaja,sekiranya Syed Aman menang, biarlah dia memerintah negeri kami.”


Mendengar jawab Yam Tuan tersebut, Sir Frederick pun menyuruh Yam Tuan Antah balik ke Seri Menanti dan berjanji akan meminta Dato Kelana Syed Abdul Rahman pulang ke Sg Ujong.


                                             


                                         Yam Tuan Antah ibni Yam Tuan Raja Radin (ditengah-tengah)




                                                  


                                                  Dato Kelana Petra Syed Abdul Rahman (1872-1881)


Apabila Yam Tuan Antah pulang ke Seri Menanti, pihak Inggeris telah bertindak berunding dengan dengan Dato Undang-Dato Undang Sg Ujong, Rembau dan Jelebu bagi mengekalkan keamanan di Negeri Sembilan. Ini dapat dilihat melalui Perjanjian Seri Menanti  23-11-1876 dan 4-6-1887 antara Inggeris dan Yam Tuan Antah dan dato'-dato penghulu luak Tanah Mengandong, Perjanjian Inggeris dan Sg Ujong pada 31-5-1877, Perjanjian Inggeris dan Rembau pada  31-3-1877  dan Perjanjian  Inggeris dan Jelebu pada 26-4-1877. 


Bagi tahun-tahun sehingga 1898, Sg Ujong, Rembau dan Jelebu adalah nagari-nagari bebas dan tidak tertakluk dibawah pemerintahan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan.


Pada 29-4-1898, dengan rundingan oleh pihak Inggeris , Undang Sg Ujong, Rembau dan Jelebu telah kembali kedalam Gabungan Negeri Sembilan melalui suatu Perjanjian antara Yam Tuan Tuanku Muhammad Shah (anakanda Yam Tuan Antah) dan Undang-Undang berempat.


Antara perkara yang digariskan adalah adalah dapat dilihat dalam Bab 2 Perjanjian tersebut adalah


“ MAKA sekarang telah kembalilah Undang yang Empat menabalkan beta menjadi raja di dalam Negeri Sembilan kerana mengikut peraturan yang telah dibuat oleh orang tua-tua.”


Melalui Perjanjian inilah kuasa Undang Luak untuk menabal Yang Di Pertuan di maktubkan seperti adat ketika menabal Raja Melewar dahulu dan tidak ada lagi peraturan ini boleh dibelakangi oleh sesiapa pun termasuk orang Besar Istana waimma besar mana pun pengaruhnya.


                                                                


                                                 Perjanjian Yam Tuan Seri Menanti dan Dato Undang Berempat

                                                                                         29-04-1898


Dengan siri-siri Perjanjian dengan Inggeris oleh Yam Tuan Seri Menanti, maka tersingkirlah pengaruh Dato Siamang Gagap dan tiada lagi dia memegang apa-apa jawatan dalam Istana.Menurut penceritaannya Dato Siamang Gagap telah pergi ke Mekah dan kemudian menetap di Kg Terusan Juasseh dan meninggal dunia di sana.(rujuk juga: ;http://abdullatip.blogspot.com/2010/07/menjejak-makam-datuk-siamang-gagap.html)


Oleh itu apa yang tersurat dalam perceritaan sejarah, Dato Siamang Gagap adalah pahlawan yang menentang Inggeris tetapi bukankah akibat tindakannya juga Inggeris dapat bertapak di Seri Menanti? Adakah itu harga yang perlu di bayar akibat kelicikan beliau dalam berpolitik dalam Istana atau mengekalkan pengaruhnya di Istana?.

Oleh itu fikirkanlah semula . Adakah benar Dato Siamang Gagap seorang pahlawan seperti yang diagungkan sejarah?


 Analisa Teladan dari Sejarah


Perlukah kita membelakangi apa yang dipersetujui dahulu demi untuk kepentingan kita sahaja. Jika kita andaikan peraturan menabal Raja suatu bentuk Kontrak Sosial , adakah boleh kita belakangi Kontrak Sosial yang ada dalam Perlembagaan Malaysia?


Jika kita sendiri cetuskan kekacauan dan ketidakharmonian mungkin ada pihak sama ada dari luar mahupun dari dalam yang akan mengambil kesempatan. Sejarah telah membuktikannya

 

Nota:-


“Rao Rontek” – ilmu sihir yang dipakai yang membolehkan pemakai yang telah ditikam atau dibunuh, hidup semula apabila jasadnya terkena tanah.


“ Bom Katak”- Katak jenis kodok yang dilumurkan dengan cili yang akan mengeluarkan gas sebagai mekanisma pertahanan. Namun sekiranya manusia terkena gas ini boleh menyebabkan halusinasi kepada manusia tersebut.


Susunan Allahyarham Tan Sri Abd Samad Idris dengan olahan semula.

 

 

 


Categories: Sejarah Negeri Sembilan

Post a Comment

Oops!

Oops, you forgot something.

Oops!

The words you entered did not match the given text. Please try again.

Already a member? Sign In

6 Comments

Reply nur
12:02 PM on December 12, 2010 
jawapannya dia seorang politikus...sanggup lakukan apa sahaja untuk kepentingan peribadinya hingga menidakkan hak oarang lain.adakah sikap begini mahu kita jadikan ikutan..dan hari ne kerajaan meletakkan sebatang jalan atas namanya.adakah ini pengiktirafan kepada nya yg membuat kacau bilau dalam negeri satu ketika dulu.
Reply kelab melayu
2:05 PM on January 29, 2011 
Marilah kita ambil perkara yang berlaku sebagai teladan. Seperti kata Tun Dr Mahathir suatu masa dahulu " Sekiranya sesuatu bangsa tidak mempelajari sejarah, bangsa itu akan didera dengan melakukan kesalahan sama berulangkali". Renung-renungkanlah
Reply KHALIL ISMAIL ISMAIL
3:41 AM on March 29, 2011 
satu analisa yang baik.sebagai saorang insan apabila kita mempunyai kuasa dan harta kita akan lupa akan garis-garis batas kebiasaan namun dalam kesilapan ini jasa besarnya tetap ada.kita sedekahkan alfatihah kepada allhyarham dan jadikan panduan supaya sejarah tidak berulang.
Reply Abu Anas
8:55 PM on October 21, 2011 
Datuk Siamang Gagap menolak Tuanku Ahmad Tunngal kerana perangai buruk dan zalim yang dikatakan ada pada Tuanku Ahmad Tunggal yang menyebabkan dia (TAT) hilang kelayakan. Ini satu tindakan yang menepati ajaran Islam. Dan DSG juga seorang berpelajaran agama (belajar di Patani dan Sumatera) dan membina masjid di Juaseh.
Reply Abu Anas
9:33 PM on October 21, 2011 
Datuk Siamang Gagap sama sekali bukan orang yang menyebabkan campurtangan Inggeris. tetapi, orang yang bersengkokol dengan Inggeris, yang terpedaya dengan janji manis Inggeris lah yang membawa campurtangan dan penjajahan Inggeris di Negeri Sembilan.
Reply Amat
9:33 AM on October 3, 2012 
mengikut cerita orang - orang lama di Pantai Seremban ( Sg Ujong ) Dato Kelana Syed Abd Rahman Undang Luak Sg Ujong tidak pernah sama sekali mahu berperang dengan Yam Tuan di Bukit Putus, tetapi sebaliknya akibat manipulasi oleh Datuk Siamang Gagap dan helah Inggeris lah yang menyebabkan berlaku perang di Bukit Putus.Kerana Datuk Siamang Gagap telah menghasut Yam Tuan untuk menawan Sg Ujong . Jika dapat berkuasa di Sg Ujong maka Yam Tuan akan berkuasa penuh di Negeri Sembilan tanpa perlu di tabalkan oleh Undang Yang Empat